1. 1. Segera Menyahut Call Daripada-Nya.
“Allahu
akbar! Allahu akbar!” Allah SWT memanggil. Tika itu kita sedang asyik
menonton rancangan kegemaran. Apa selalunya reaksi kita pada
panggilan-Nya?
“Di atas nama cinta pada yang selayaknya…kunafikan yang fana…” Melodi handphone pula berirama. Tika itu kita sedang sibuk studi sebab esok final exam. Kita tangguhkan atau kita segera mengangkatnya?
Bukti
cinta, letakkanlah Kekasih Agung sebagai prioriti. Letakkan keinginan
kita sama dengan keinginan Kekasih, tidak bertentangan. Jika Allah SWT
ingin berjumpa, tunjukkanlah kita juga ingin berjumpa Allah SWT. Malah,
apa yang kita inginkan pun ditanya kepada Allah, bukan berasal daripada
diri kita sendiri.
Misalnya,
keinginan memilih pakaian. Wajarkah orang yang cinta kepada Allah SWT
berkata begini: “Aku tak nak pakai tudung ke, nak pakai jeans ke, tak
pakai apa-apa ke, suka hati akulah.” Sudahkah ditanya kepada Allah SWT,
pakaian bagaimanakah yang Allah SWT suka? Jika Allah SWT diletakkan
sebagai kekasih, tentulah kesukaan-Nya yang akan kita utamakan.
Orang
yang egois, suka dirinya disanjung dan dipuja tapi tidak suka
menyanjung dan memuja. Dia mahukan Allah SWT mengikuti keinginannya
tetapi dia tak suka mengikuti keinginan Allah SWT, enggan melakukan apa
yang Allah suruh. Benarkah kita cinta kepada Allah SWT tatkala kita
memaksa Dia memakbulkan doa-doa kita sedangkan hidup seharian kita asyik
bergelumang dosa tanpa taubat?
2. 2. Memberi Perhatian Kepada SMS dan Email Daripada Allah.
Kecintaan
Rasulullah SAW dan para sahabat nampak jelas buktinya apabila mereka
sangat cintakan al-Quran. Al-Quran itulah SMS dan Email daripada Allah SWT supaya kita perhatikan selalu.
Generasi awal membudayakan al-Quran dalam hidup seharian. Apabila saling bertemu, mereka suka minta dibacakan al-Quran untuknya.
Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Abbas membacakan al-Quran untuknya. Kata baginda, “Bacakan al-Quran kepadaku.”
Ibnu Abbas lalu membaca sehingga ke surah An-Nisa’: ayat 41. Rasulullah SAW minta dicukupkan kerana tidak tahan menanggung air mata sebak. (Rujuk HR BukhariMuslim).
Suatu
malam, Rasulullah SAW melewati rumah Abu Musa al-Asya’ri yang sedang
membaca al-Quran dalam solat malam, Rasulullah terus terpegun dan
menangis. (HR BukhariMuslim).
Suatu
saat Abu Musa al-Asya’ri datang kepada Umar. Umar berkata,”Ingatkan
kami kepada Tuhan kami.” Lalu al-Quran dibacakan. Umarpun menangis.
Jadi,
jika benar kita cintakan Allah, cintailah juga kalam-Nya. Ajaklah
kawan-kawan kita membudayakan al-Quran. Biar al-Quran menjadi perbualan
harian dan mimpi malam kita. Jadikan kerinduan menatap al-Quran lebih
mendalam daripada kerinduan menatap sms, email dan facebook.
3. 3. Memandang MMS-Nya Selalu.
Memandang
MMS Allah? Aik, macam mana tu? Ya, kita tidak dapat memandang zat Allah
yang Maha Tinggi di dunia. Namun, kita masih boleh memandang
‘kebesaran-Nya’.
Allah
SWT sudah hantar MMS pada kita. Lihatlah pesona alam yang menghijau,
lihatlah gumpalan awan yang memukau, lihatlah gelora laut yang membiru
dan lihatlah kehidupan yang penuh ranjau. Semuanya membentangkan
sifat-sifat Allah SWT yang Maha Agung, Maha Pencipta, Maha Bijaksana,
Maha Pengasih dan Penyayang.
Semakin
direnung, semakin diri terasa kerdil. Tatkala diri terasa kerdil, akan
timbul rasa pergantungan pada Yang Maha Besar. Tika rasa ingin
memandang-Nya makin kerap menjengah hati, ia suatu bukti kita semakin
cinta kepada Ilahi.
4. 4. Malu-malu Saat Dating dengan-Nya.
Anda
pernah bertembung mata dengan seseorang yang dikagumi agama dan
akhlaknya? Rasa malu tak? Biasanya, hanya terdaya memandang sepintas
lalu sahaja.
Anda pernah dirisik atau bertunang? Bagaimana perasaan saat direnung bakal ibu mertua? Hmm, rasa ingin tunduk sampai mencium lantai, kan?
Bagaimana
pula saat berhadapan dengan ‘orang besar’ atau Raja? Sanggupkah kita
membiarkan mata melilau ke mana sahaja? Sudah tentu kita memfokuskan
perhatian kepadanya dengan kepala yang sedikit menunduk. Betul tak?
Kenapa?
Kerana dorongan rasa malu dan kerana kita meletakkan mulia pada
kedudukan orang yang memandang kita itu. Allah SWT pernah memuji
kesempurnaan adab kekasih-Nya, Muhammad SAW pada malam israk mi’raj.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Penglihatanya (Muhammad) tidak
berpaling (fokus) dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya
(tidak memandang dengan tajam).” (An-Najm: 17).
Bukankah saat solat itu adalah saat kita dating malah kadang kala itulah saat kita berkhalwat dengan
Allah SWT? Jika benar kita cintakan Allah SWT, buktikan dengan menjaga
adab memandang di dalam solat. Rasulullah SAW melarang kita solat sambil
memandang ke atas. Berdiri di hadapan Allah SWT, kita mestilah berdiri
tegap, menundukkan kepala dan memfokuskan pandangan ke tempat sujud.
Hakikatnya,
Allah SWT bukan sahaja memandang kita di dalam solat, bahkan setiap
saat. Sama-samalah kita menjaga rasa malu pada-Nya sebagai bukti kita
cintakan Dia.
5. 5.Sentiasa rindu dan ingat pada -Nya.
Wujudkah cinta tanpa rindu? Jika benar kita mencintai Allah SWT sebagai cinta agung, Dialah yang sepatutnya paling kita rindui.
Bagaimana merindui suatu yang kita tidak tahu zat-Nya? Bersabar dan berharaplah saat-saat indah dapat menatap wajah-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Barangsiapa rindu dan berharap pertemuan dengan Allah,
maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang.” (Al-Ankabut: 5).
Rindu
pada Allah SWT terubat seketika apabila kita menghadiri majlis ilmu
yang mentauhidkan Allah SWT. Rindu pada Allah SWT juga terbias pada
rindukan al-Quran, rindukan tahajjud, rindukan orang-orang soleh dan
rindukan kebenaran.
6. 6.Banyak Menyebut-nyebut Nama-Nya.
Apakah topik perbualan harian kita dengan kawan-kawan? Soal artis? Soal drama TV? Soal pelajaran? Soal si dia?
Kalau kita cintakan Allah SWT, apa kata, kita
sama-sama jadikan Allah SWT sebagai perbualan harian. Ingin berbicara
topik apa sahaja, pastikan Allah tidak lekang di bibir dan dikaitkan
bersama. Mudah sahaja, contohnya:
“Alhamdulillah, Allah izin saya dapat juga A- dalam subjek ni.”
“Dia sedang mengumpat saya! Tak mengapalah, Allah ada. Allah akan bela saya.”
Selalunya,
dalam kesusahan, atau tika ditimpa bahaya sahaja, orang mudah kembali
ingat pada Allah SWT. Beruntunglah orang yang sering mengingati Allah
SWT di saat senang, nescaya Allah SWT akan mengingatinya di saat susah.
Ingatan pada Allah SWT terzahir juga pada banyaknya zikir. Ada 4 tingkat zikir menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1) Tertinggi: Berzikir dengan lidah dan hati yang sama-sama merasai. Hati lebih-lebih lagi menikmati.
2) Berzikir dengan lidah dan hati tapi tidak merasai.
3) Berzikir dengan hati sahaja, sekadar ingat bukan merasai.
4) Berzikir dengan lidah sahaja, hatinya lalai.
Samada
zikir kita di tingkat pertama atau keempat, Allah SWT tidak akan
mempersiakan setiap zikir hamba-Nya ini melainkan diberikan pahala.
Begitulah Allah SWT menghargai setiap rindu dan ingatan kita pada-Nya.
Adakah kita juga menghargai Dia?
7. 7. Bersabar dengan Ujian Allah
Lumrah cinta akan ada ujian. Ujian
itu bagi mengenalpasti setakat mana dalamnya cinta. Kadangkala kita
melalui beratnya ujian, tidak tertanggung rasanya. Ketahuilah, seberat
manapun ujian kita, kita tidak pernah diuji supaya menyembelih anak
sendiri atau meninggalkan insan tercinta di padang sahara. Kita juga
belum lagi diuji dengan lemparan batu, sanak-saudara memboikot dan
membenci atau berperang menentang musuh.
Ujian-ujian
yang besar ini menjadikan para Nabi istimewa di mata Ilahi. Jadi, kalau
benar kita cinta pada-Nya, usah mengharapkan hidup tanpa ujian. Usah
juga meminta-minta ujian yang lebih besar . Berdoalah agar diberi
kekuatan menghadapi apa jua ujian dari-Nya. Dia lebih tahu ujian mana
yang layak bagi kita. Apa yang perlu diingat, Allah SWT sengaja menguji kita untuk mengenal dan membuktikan siapa yang lebih mencintai Dia.
8. 8.Mencintai Segala Sesuatu yang Berkait dengan Allah.
Jika
sudah terpikat, melihat atap kolej si diapun sudah mengubat. Apa-apa
sahaja yang ada kaitan dengannya memberi rasa debaran di dada. Malah,
perkara yang ada kaitan itupun terasa istimewa. Begitulah lumrah cinta.
Apakah pula bukti kita terpikat pada cinta Allah SWT? Sudah
tentu apabila kita mencintai sesuatu yang ada kaitan dengan-Nya, itu
bukti kita ingin lebih akrab dengan-Nya. Contohnya kerinduan muslim
kepada Kaabah kerana Kaabah adalah baitullah (Rumah Allah). Maka, Kaabah juga dirasakan istimewa. Itu suatu bukti cinta.
Jika
masih belum mampu meluah rindu di Kaabah, manfaatkan rumah-rumah Allah
yang berhampiran kita. Jangan biarkan masjid dan surau sunyi tanpa
kunjungan para pencinta. Buktikanlah cinta kita pada-Nya.
9. 9.Luapan Perasaan Luar Biasa Saat Berhubungan dengan Allah. (Khusyuk).
Firman
Allah SWT yang bermaksud, “Sungguh, orang-orang yang beriman ialah
apabila disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, bila dibacakan
ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya kepada
Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal.”(Al-anfal:2).
Mendapat
khusyuk amat sukar. Namun kita masih mampu berusaha mendapatkannya.
Semoga amalan kita tika ini lebih baik daripada yang tadi. Sentiasa
lakukan yang lebih baik untuk mencapai yang terbaik.
10. Cemburu
Cemburu
dan cinta tidak dapat dipisahkan. Tanda cinta kepada Allah SWT, kita
akan cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih kita hingga
kekasih kita juga lebih cinta kepadanya. Ianya cemburu yang positif
bukan cemburu yang dibiarkan bertukar menjadi fitnah.
Cemburulah
kepada orang yang lebih berilmu, ulama’, dan orang yang lebih banyak
beramal. Bukan cemburu kosong tapi dalam rangka untuk mencontohi mereka.
Dalam solat pula, cemburulah kepada orang yang solatnya lebih awal
waktu, dapat berjemaah, dan solatnya lebih khusyuk kerana dia lebih
mendapat perhatian Allah SWT ketika itu.
11. Berusaha keras meraih redha Allah.
Seterusnya,
bukti kita mencintai Allah SWT ialah apabila kita sanggup melakukan apa
sahaja demi menggapai redha Allah SWT. Ada 3 kondisi pencinta menurut
Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1)Berat hati untuk mencintai namun dia memaksakan diri.
2)Cinta makin menguat dan dia patuh.
3)Cinta menetap di hati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.
Cinta
kita kepada Allah di tahap mana? Apapun tahapnya, mulai saat ini,
buktikanlah kepada Allah SWT, kita sangat cinta pada-Nya. Jom!
No comments:
Post a Comment